Iktibar | Hidup Jangan Sombong!

 Allahu Akbar 😢, jemput baca.. 


"Saya ni susah bangun pagi. Sampai sekarang mak saya masih kejutkan saya. Kadang-kadang pakaian tu bertimbun. Saya jenis kerja bertangguh. Kalau pasal solat jangan tanyalah. Lama-lama sekali boleh lah solat di awal waktu. Solat-solat sunat tu memang taklah. Puasa sunat lagi tak."


Ada ke orang masa interview cerita kelemahan diri dia?


Mana ada. Kalau boleh tipu, nak je dia tipu untuk sorok kelemahan diri dia.


Tapi kita dengan ALLAH , kita tak boleh tipu. Kita tak boleh lari. ALLAH kenal kita. ALLAH tahu semua yang kita buat. ALLAH tahu apa yang kita pendam di dalam hati kita. ALLAH tahu apa yang kita fikir. ALLAH tahu apa yang kita rasa. Kita tak boleh tipu dengan ALLAH. Kita tak boleh tipu Tuhan kita. Kita boleh tipu diri sendiri. Ramai orang menipu diri sendiri. Dia kata dia bahagia, sebenarnya dia tak bahagia. Bahagia yang sebenar apabila kita benar-benar kembali kepada ALLAH. Bahagia yang sebenar bila kita tahu tujuan hidup kita. Tujuan hidup kita untuk dapat redho ALLAH. Kita tak perlu kecewa pun jika manusia tak redho pada kita. Kita perlu kecewa pun manusia tak hargai kita. Yang penting ALLAH hargai kita. 


Kita banyak tipu diri kita. Kita kata kita gembira. Kita tipu diri kita. Gembira kita rupanya luaran sahaja, dalaman tak ada.  Gembira luaran kita tercetus daripada nafsu. Kita gembira apa kita nak makan, kita dapat. Apa yang kita nak beli, kita dapat. Mana kita nak pergi, kita dapat. Apa kita nak tengok, dapat. Kita rasa happy 2 jam boleh layan HP, mak tak panggil. Rupa-rupanya happy kita palsu. Bila datang ujian, kita rebah. Sebab kita tidak ada akar tunjang yang kuat tentang hakikat gembira yang sebenar. Bila kita tenang bila sebut nama ALLAH, bila kita rasa ada sesuatu untuk jumpa Nabi, itulah tenang yang sebenar apabila kita rasa Insya-ALLAH kita akan jumpa Nabi.


Siapa yang yakin dapat jumpa Nabi?


Yang ada pada kita hanya takut dan harap.


Harap dapat jumpa Nabi. Takut tak dapat jumpa Nabi.


Harap masuk Syurga. Takut dicampak dalam Neraka.


Tapi siapa di antara kita orang yang yakin?


Sebab itu orang yang yakin, dia tenang. Dia tak gelisah orang kecam, orang pulaukan. Dia nak hijrah, dia hijrah. Dia tenang je walaupun hilang kawan. Dia tenang je walaupun hilang kerja. Dia cakap nak hijrah. Tempat yang dia sedang tuju bukan tempat biasa-biasa. Sedang menuju kepada ALLAH. Dia sedang menuju ke Syurga ALLAH. Apalah sangat kecaman, penghinaan orang, pemulauan orang, kata-kata orang. Apalah sangat jika dinilaikan dengan nilai Taman Syurga ALLAH, tempat rehat yang sebenar.


~~~~~~~~~~~~~


3 DOA YANG PENTING YANG PERLU KITA MINTA TAPI SERING KITA LUPA.


وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ


Ya ALLAH, aku mohon perlindungan daripada api Neraka.


وَقِنَا عَذَابَ الْقَبْرِ


Ya ALLAH, aku mohon perlindungan dari azab kubur.


وَقِنَا عَذَابَ المحشر


Ya ALLAH, aku mohon perlindungan daripada azab Padang Mahsyar.


Kalau mohon perlindungan, 3 inilah perlindungan kita paling takut tapi kadang kita tak minta dengan ALLAH sebab kita lebih takut hilang suami, lebih takut hilang isteri. ALLAH tahu apa yang baik untuk kita dan apa yang kita perlu. Kadang takut hilang bisnes. Takut hilang pekerja.  Takut itu takut ini sebab perkara tu boleh nampak depan mata. Tapi kubur belum nampak. Mahsyar belum nampak. Tapi itulah ketakutan yang kita pasti akan hadapi.


 

Ada banyak perkara yang kita takut dalam hidup ini sepanjang kita hidup dok takut-takut tapi tak berlaku pun. Tapi alam Barzakh, Alam Mahsyar dan Alam Akhirat ia pasti jadi dan pasti kita akan lalui. Inilah sebenarnya doa yang sangat perlu kita minta meliputi 3 perkara ini.


~~~~~~~~~~~~~~~~


Ada tetamu datang rumah. Kita buat peraturan. Kita kata,


"Jangan pergi kat bilik tu."


Dia pergi selamba je. Lepas tu kita nak cakap apa?


"Minta maaf puan. Ini rumah saya. Saya yang berhak buat peraturan. Saya dah larang jangan masuk bilik tu. Tapi puan masuk juga dalam bilik tu. Sekarang puan keluar. Minta maaf puan. Puan dah over limit. Puan sila keluar daripada rumah saya ni."


Tuan puan sekalian,


Bumi ini milik ALLAH. Kita milik ALLAH . ALLAH ciptakan kita. ALLAH berhak buat apa saja peraturan. ALLAH berhak. Tapi ALLAH Ya Sobur ALLAH Yang Maha Penyabar melihat kelakuan kita yang terang-terang lawan ALLAH. Yang terang-terang ingkar perintah. Yang terang-terang buat apa yang ALLAH larang terang-terangan. 


Dia tahu , bukan dia tak tahu. Dia buat apa yang ALLAH larang. Dia pakai ketat, pakai singkat, buat perbuatan yang terkutuk di khalayak ramai, di TikTok, di FB, buat perbuatan yang tunjuk sana tunjuk sini, lenggok sana lenggok sini. Dia tahu salah,


"Saya tahu apa yang saya buat. Tapi janganlah menilai saya dari segi luaran."


Allahu Akhbar. 


Hakikatnya dia sedang memperlihatkan perbuatannya terang-terangan menyombong dengan ALLAH SWT. 


Sebab itu ALLAH bagi amaran yang keras,


وَلَا تَمْشِ فِى الْاَرْضِ مَرَحًاۚ


"Jangan kamu berjalan di atas muka bumi-KU ini dengan sombong."


Kita kata orang sombong tu orang tak nak tegur.


"Eiii sombonglah dia tu. Mentang-mentang dah kaya. Sombong."


Tapi lebih dahsyat manusia yang sombong dengan ALLAH.


Sombong dengan manusia pun dahsyat. Sombong dengan ALLAH berkali ganda dahsyat. 


Ada orang baik dengan manusia. Tak sombong. Rendah diri. Tapi dengan ALLAH, dia sombong. Dengan majikan dia tak sombong. Majikan kata,


"Ok saya nak awak pakai macam ni."


"Ok bos."


Dengan manusia dia tak sombong tapi dengan ALLAH, dia terang-terang lawan ALLAH. 


Allahu Akhbar.


Orang yang tidak menyombongkan diri dengan ALLAH, apa ALLAH bagi?


ALLAH bagi pahala, hidup tenang, bahagia walaupun hidup susah. Bahagia itu ALLAH yang bagi dengan cara-NYA, bukan dengan cara kita. Kita rasa kita dapat apa yang kita nak, kita bahagia. Tapi ALLAH bagi lebih daripada itu walaupun dengan cara kita tak dapat apa yang kita nak. ALLAH Maha Bijaksana mengatur kehidupan kita, akhirnya kita tahu apa itu bahagia. 


ALLAH paling tahu tentang kita. Jangan takut bila kita nak hijrah kepada ALLAH. Jangan takut. Manusia tak boleh bagi manfaat, manusia tak boleh bagi mudharat. Hanya semata-mata ALLAH sahaja. Manusia semua perantaraan. ALLAH boleh atur semuanya.


~~~~~~~~~~~~~~~


TENTANG IMAN.


Apa itu iman?


Sesuatu yang diucapkan pada lidah. Kepercayaan dilafaz pada lidah. 


"Ya ALLAH, aku percaya Syurga-MU benar. Aku percaya Neraka itu benar. Aku percaya Al-Quran itu benar dan segala isi kandungan dalam Al-Quran itu benar. Segala perintah dan larangan itu benar daripada-MU Ya ALLAH."


Kemudian apa yang disebut dilidah itu dibenarkan di dalam hati. Hati pun membenarkan.


Ramai mana manusia mulut dia cakap,


"Terima kasih bos."


Tapi dalam hati tak. Dalam hati merungut. Kat mulut puji,


"Bos.... Bos memang terbaik."


Tapi ada simpan marah dan dendam.


Kita kena seiring hati dan juga lidah.


Yang ketiga, apa itu iman?


Beramal dengan perbuatan.


Sebab itu orang yang beriman bila dia kata,


"Ya saya percaya bahawa solat itu wajib."


Hatinya membenarkan. Perbuatannyalah yang akan menjadi pengukur adakah dia benar-benar membenarkan bahawa solat itu wajib. 


Ramai mana orang tak menafikan bahawa solat itu wajib tapi dia tak sembahyang. Maksudnya imannya tidak sempurna. Dia ada masalah besar sistem kepercayaan. 


Kalau kita kata makan itu mengenyangkan lalu kita kata,


"Saya tak nak makan."


"Awak percaya tak makan itu mengenyangkan?"


"Saya memang percaya makan tu mengenyangkan."


"Habis tu kenapa awak tak nak makan? Awak lapar tak?"


"Saya lapar."


"Habis tu makanlah."


"Takpelah. Takpe takpe. Saya tak nak makan."


"Awak ni macam problem je. Awak percaya ke tak kalau makan tu kenyang?


"Saya percaya."


"Habis tu awak nak kenyang dengan apa?"


"Memanglah tak boleh kenyang dengan benda lain melainkan makan."


"Habis tu makanlah."


Tuan puan,


Sistem kepercayaan yang sempurna bila ada tindakan.


Sebab itu ramai orang mulut dia cakap percaya,


"Ini benar perintah ALLAH, saya percaya."


Tapi perbuatan dia tidak. Maka dia ada masalah besar dengan sistem kepercayaannya. Dia sebenarnya tidak benar-benar percaya. Dia belum betul-betul percaya. 


Sebab itu iman itu adalah apa yang diikrarkan pada lidah, apa yang dibenarkan di dalam hati dan apa yang dibuktikan dengan perbuatan.


~~~~~~~~~~~~~~~~


[ Antara tazkirah Tazkiyatun Nafs oleh Ustazah Asma Harun dalam Kuliah Kitab Riyadhus Solihin Siri 178 awal pagi semalam. Jazakillahu Khair Ustazah ❤️ ]


Wallahua'lam.

Semoga bermanfaat.


سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ


لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيمِ‎


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

#yusnizayaziz 

#PAMM 

14 Muharram 1444H

12 Ogos 2022


Kredit :


https://www.facebook.com/100069356002378/posts/361801866141677/?d=n



Comments

Popular posts from this blog

LeeRoy's Homemade Grilled Burger First In Sungai Petani

Kedai Landscape dan Haiwan Baru di Sungai Petani

Tips | Semangat Positif Ceriakan Hidup Tahun 2013

Pesanan Ikhlas

Untuk makluman semua, SEGALA IKLAN PROMOSI berkaitan produk atau NOMBOR TELEFON yang ada SEBELUM TAHUN 2022 TIDAK LAGI digunakan & berurusan ye. Semua entry yang ada didalam blog akan dijadikan sebagai kenangan. Mohon maaf sekiranya ada mana-mana entries yang kurang sopan atau ada unsur yang tak sepatutnya atau ada kisah-kisah yang membuka aib mana-mana pihak. If uguys rasa tak selesa dengan entry tersebut boleh komen diruangan "Posting Entry Blog @ email" untuk di edit semula atau padam post tuh. Sorry sangat-sangat ye guys..